Refleksi kasih menyerlahkan cinta yang sebenar... Segenap rasa kasih lahir begitu sempurna bersama rekaan-rekaan busana dan fabrik yang menarik. Hadir penuh elegan, feminin lagi jelita di hari berbahagia.
Santun lenggok si ratu berbusana pengantin nan indah, berjaya diilhamkan sempurna oleh pereka-pereka fesyen profesional, antaranya pereka fesyen dari Indonesia, Prestige by Inar. Turut tidak ketinggalan, Alinas, Freda Apparrel, Gezal Mihat, Kerangsi dan koleksi fabrik perkahwinan serba eksklusif daripada Euromoda dan Jakel; indah menghiasi setiap lembaran Segmen Penampilan & Perhiasan. Menambah rencam keindahan berfesyen, Kraf Busana hadir dengan gaya busana berkonsep tradisi songket dan batik selain turut menyerlahkan hasil kraf tangan yang menarik.
Santapan minda, untuk segmen ini RS menitipkan makalah-makalah berinformasi antaranya “Gemilang Kebahagiaan Jaminan Sebuah Impian”, sempurna artikel mengetengahkan perihal pemeriksaan ujian saringan bagi kaum wanita. Membantu para mempelai yang bakal melangsungkan perkahwinan, sub segmen Citra Cantik kali ini mengetengahkan makalah bertajuk “Kukuhnya Batuan Cinta Teguhlah Binaan Istana Bahagia”, menceritakan perihal persediaan dari segi kesihatan (ujian saringan) sebelum melayari alam rumah tangga.
Emas, mampu menjadi perkara utama dalam penampilan si jelita. Dengan tajuk artikel “Menyingkap Ketulenan Sebenar, Emas Perhiasan Istimewa” bakal membongkar langkah-langkah dalam mengenal pasti ketulenan emas yang sebenar selain turut menitipkan fakta-fakta berkaitan barang kemas yang sering menjadi teman bagi para wanita.
Melengkapkan lagi penampilan Si Ratu Sehari, segmen Rias Ratna memaparkan beberapa solekan dalam menyerlahkan kejelitaan wajah si gadis menjelang hari berbahagia bersama jurusolek-jurusolek berbakat besar. Antaranya dipersembahkan khas daripada Freda Make Over dan The Magical Touch of Ian Sham.
Lengkaplah sudah penampilan dan perhiasan, si permaisuri hadir dengan gaya penuh menawan...
|