Satu persatu diatur sempurna, lengkap segala impian istimewa terlaksana. Hari bersejarah yang bakal menyatukan kasih anda dan si dia, dipersiapkan sehabis baik dengan hebahan maklumat juga paparan idea tema-tema resepsi yang pelbagai lagi menarik.
Bersama segmen perancangan perkahwinan, beberapa artikel-artikel menarik dihidangkan sebagai sumber inspirasi. Antaranya, artikel “Serlahan Cinta Abadi, Penuhi Impian Hati”. Menyingkap segenap panduan dan nasihat daripada pereka pelamin dan perancang perkahwinan, Ratu Sehari menawarkan informasi menarik perihal pemilihan reka bentuk pelamin yang tepat. Dapatkan tip-tip menarik antaranya daripada Dicky D’ Fabulous, Nas Great Idea, Perfect Day Planner, Precious Moments Collection dan Reka Teemor.
Menghangatkan lagi semangat bacaan anda, Ratu Sehari menyampaikan makalah nasihat daripada pasangan mempelai yang telah selamat menempuhi gerbang perkahwinan, menerusi artikel “Nasihat Dihulur Seikhlas Hati, Moga Kebahagiaan Kekal Lestari”. Melengkapkan keseluruhan segmen, artikel “Mencintai Dirinya... Dicintai Kasihnya” memberikan panduan-panduan dalam menyemarakkan rasa cinta lantas mengekalkan kasih yang berpanjangan antara kedua mempelai.
Berbicara tentang pelamin, anda juga berpeluang merehatkan mata seketika sambil melewati paparan-paparan pelamin dengan olahan tema majlis yang pastinya akan mencuri perhatian.
|