Bagi anda yang sedang merancang sebuah perkahwinan idaman, Ratu Sehari hadir menghidangkan anda pelbagai panduan dan persediaan agar ‘mahligai' yang bakal dibina akan kukuh terserlah serinya ikatan antara dua hati. Artikel “Melayari Samudera Perkahwinan” membawa kepada anda kesedaran dalam menempuh realiti melayari lautan sebuah kehidupan berkeluarga.
Selain daripada itu, sama-sama juga anda dibawa bersama menyelusuri warisan tradisi dalam berpantun sambil meniti istiadat perkahwinan. Selidiki dan fahami keindahan rangkap-rangkap pantun yang tercipta.
Bagi anda yang bertudung, Ratu Sehari menyenaraikan beberapa kriteria yang perlu diambil perhatian dalam tampil menawan bertudung. Istimewa buat anda, banyak lagi informasi bermanfaat khas terangkum indah dalam segmen Perancangan Perkahwinan kali ini.
Membantu dalam perancangan majlis agar menyerlah seperti yang diimpikan selama ini, realisasikannya dengan idea-idea baru lagi kreatif yang dipaparkan khas dalam edisi keenam Ratu Sehari ini. Majlis resepsi yang bertemakan putih, ‘kaya' dengan dekorasi bunga-bungaannya serta tema fantasi alam lautan pasti memenuhi cita rasa masa kini. Penuhkan jua ruang khayalan anda dengan pelbagai dekorasi pelamin yang terhias serba indah. Turut dimuatkan bersama hias meja santapan yang boleh dijadikan sumber inspirasi untuk majlis anda nanti.
|