Kemuliaan hati Si Jentayu dalam mempertaruhkan nyawa menegak keadilan menyatu antara dua cinta dari terpisah kasih, tergambar keagungan semangatnya dalam memelihara sebuah ikatan CINTA. Walaupun dirinya gagal dalam pertarungan dengan si garuda angkuh, namun Jentayu sebenarnya berjaya menyelamatkan jiwa yang penuh bersemi tunas-tunas cinta nan mekar.
Kaya dengan semangat kedamaian dan keadilan, teguh semangat Jentayu terus menyinar kebenaran cinta. Malah akan tetap berbunga dengan jutaan kelopak kasihnya. Jentayu... Relakan Semangat Cintamu, judul edisi Ratu Sehari kali ini sempurna mengabadikan semangat Jentayu simbolik bersama semangat kecintaan insani.
Tersebar begitu luas semangat kecintaan bersama sebuah perikatan perkahwinan, Ratu Sehari mempersembahkan pelbagai paparan menarik saling menepati keperluan dan impian bakal-bakal mempelai. Tidak pernah lapuk juga sama sekali tidak ketinggalan, elemen-elemen kecintaan senantiasa dititipkan bersama setiap dekorasi juga penglahiran ilham dalam menjayakan sesebuah majlis perkahwinan.
Bakal melangkah memasuki gerbang perkahwinan pada tahun 2010 yang baharu sahaja mula menyusur merintih waktu, hayatilah paparan-paparan menarik yang sempat Ratu Sehari titipkan ini. Sedari serlahan tema-tema resepsi berhias serba indah dengan pelbagai konsep dan tema, anda juga berpeluang untuk menjamu minda dengan artikel-artikel yang telah sempurna disiapkan.
Bentangan pendapat-pendapat pakar berkaitan persediaan pelamin juga panduan ikhlas daripada para mempelai yang telah melalui ambang perkahwinan, bakal menemani anda sebagai panduan berguna. Istimewa juga buat bakal mempelai yang masih ragu-ragu dengan pemilihan gaya busana perkahwinan, Ratu Sehari menyelongkar segenap informasi menarik berkaitan busana agar anda tampil lebih menawan menggayakan busana yang bertepatan dengan bentuk tubuh.
Positif maklum balas yang diterima daripada pembaca berkaitan paparan destinasi bulan madu yang pernah Ratu Sehari paparkan dalam edisi-edisi lepas, kini dimantapkan lagi paparan lokasi bulan madu dengan menjejaki Negeri Jelapang Padi, Kedah Darul Aman. Ketahuilah keistimewaan setiap tempat dan kunjungilah Kedah untuk merasai sendiri kehebatan destinasi ini.
Secangkir maklumat buat anda, pembaca dan bakal-bakal mempelai, rebutlah peluang untuk memenangi hadiah lumayan berupa perkhidmatan juga kelengkapan dalam memenuhi persediaan perkahwinan anda. Hanya perlu menyertai peraduan Ulang Tahun ke-5 Bridal Guide; siapa tahu, anda mungkin merupakan salah seorang yang akan memenangi percutian berbulan madu ke Bali...
Semoga kehadiran Ratu Sehari di sisi anda mampu membantu merealisasikan impian perkahwinan. Jejaklah kebahagiaan dengan kerelaan hati dan semangat saling cinta mencintai.
Selamat membaca dengan penuh rasa kecintaan...




