Sinar kemilau suluhan cahaya,
Cantik nan indah alam buana;
Menerangi gelita api asmara,
Menjemput hadir kunjungan cinta.


Hadirnya sinar cahaya kasih begitu indah menyinari gelita jiwa, meronta hati untuk terus merasakan cinta, inginku terus menyulam kenangan indah yang tercipta; agar ku terusan bisa merasai keasyikan ertinya sebuah CINTA.

Kerana kirana kuingin rasakan cinta… Indah bait-bait kata melatari ruang muka hadapan majalah, simbolik bertitip perkataan “Kirana” menjadi asas penglahiran bicara kata. Membawa makna sesuatu yang “indah”, “cantik”, dan “sinar”, itulah nilai keasyikan cinta yang begitu agung menguasai seluruh ruang jiwa, lantas meruntun segenap benak rasa untuk terusan memiliki cinta.

Sisipan terindah buat semua, Kerangsi hadir melayah mampir busana nan indah menghiasi Majalah Ratu Sehari kali ini. Suci busana putih saling berteman aura rona ungu diraja, mendakap erat dekorasi sekitar nan indah; unik hias muka hadapan edisi KESEBELAS Majalah Ratu Sehari.

Istimewa menemui anda, para pembaca Ratu Sehari yang disayangi, tidak ketinggalan dalam keluaran kali ini Ratu Sehari terusan menyajikan pelbagai paparan-paparan menarik menemani semua juga pasangan mempelai yang bakal bersatu cintanya. Dengan informasi dan maklumat mengenai persediaan perkahwinan, setiap segmen menjanjikan sesuatu yang berharga untuk tatapan bersama. Hayatilah...

Secangkir kemanisan sebagai pelengkap hirupan kasih, khas dititipkan paparan artikel berkaitan dunia fotografi perkahwinan. Mendekatkan lagi para pembaca kepada “penyaksi sejati” memori kasih para mempelai; segenap jurugambar dan juruvideo perkahwinan dikumpulkan bersama dalam satu artikel yang cukup istimewa menyerlahkan daya kreativiti mereka di samping menyampaikan panduan ikhlas buat pasangan pengantin yang bakal menjejak hari bahagia.

Mengutus sekalung penghargaan buat semua pembaca Majalah Ratu Sehari, turut disisipkan bersama borang kaji selidik yang menjanjikan hadiah-hadiah menarik lagi lumayan; sebuah percutian bulan madu yang mengasyikkan penuh eksklusif ke destinasi percintaan, Bali. Jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Mengarang warkah rencana berkaitan dunia perkahwinan, Ratu Sehari terpanggil untuk menjemput para pembaca sekalian mengirimkan bicara hati anda berkaitan pengalaman sekalipun pendapat dan informasi berkaitan dunia perkahwinan. Kirimkan nukilan kreatif anda ke info@ratusehari.com.my.

Mengharapkan hadirnya cinta di sudut hati anda dengan paparan kali ini, ingin hati turut menitipkan ribuan kuntuman kata penghargaan buat semua pembaca yang setia menjadikan Majalah Ratu Sehari sebagai peneman hari-hari bahagia yang dilalui.

Rasailah keasyikan cinta bersama setiap layah paparan yang tersedia...

 
©CDQA MEDIA SDN BHD 2006