Fata morgana cinta, yang abadi bersama pertalian perkahwinan yang terikat utuh pada dahan kasih suci lagi murni. “Fata morgana” dalam erti kata lain membawa maksud khayalan. Anyaman khayalan cinta yang asyik disulam sekian ini akhirnya sempurna terhampar tikar melapik, membendung kasih sayang yang tercipta atas dasar ikatan perkahwinan yang suci. Inilah makna yang terselindung disebalik ungkapan “Fata Morgana Cinta Abadi” yang menghiasi dada majalah Ratu Sehari edisi keenam.
Kembali kini Ratu Sehari menerjah dunia perkahwinan dengan edisi keenam yang bakal menghidangkan anda pelbagai informasi dan idea-idea unik lagi kreatif sebagai santapan minda dan nurani. Pemilihan yang tepat untuk hari bersejarah bagi anda bakal-bakal pengantin adalah amat penting. Oleh yang demikian, kami rakan kerja Ratu Sehari menampilkan idea-idea menarik lagi mendatangkan ilham buat anda merancang tema mahupun menggubah hantaran bagi hari bersejarah yang bakal kunjung tiba.
Antara yang eksklusif kami paparkan buat anda; tema resepsi yang didekorasi serba sempurna menyerupai alam dasar lautan. Sememangnya indah. Terpotret juga set pelamin serba putih dan ada juga pelamin yang meriah dengan dekorasi bunganya. Selain itu, panorama walk way yang dirakamkan sebagai cover edisi keenam kali ini semestinya unik dan menepati cita rasa pasangan pengantin yang sukakan sentuhan elegan. Walk way yang hadir serba putih ini melambangkan kesucian kasih yang tercurah. Inginkan idea hantaran lain dari yang lain, turut kami selitkan buat tatapan anda sekalian.
Kami juga memantapkan lagi keluaran kali ini dengan paparan artikel yang lebih berinformasi. Meniti hari-hari melangkah ke alam perkahwinan, sedar atau tidak, kadang kala stres datang tanpa berjemput. Dengan itu, kami memaparkan artikel menghuraikan gejala stres agar kita sama-sama lebih memahami dan akan lebih bijak mengatasinya. Antara lain Ratu Sehari turut membicarakan ‘bahasa’ si mawar, sambungan artikel kajian peribadi diri, panduan berbulan madu dan sebagainya.
Sekadar informasi buat anda, ruangan “Album & Diari” Ratu Sehari semakin mendapat sembutan hangat para pembaca. Usah kecewa jika memori perkahwinan anda tidak tersiarkan pada edisi kali ini. Kami akan cuba memenuhi harapan anda. Namun bagi anda yang sedang dalam perancangan untuk mendirikan rumah tangga, cubalah untuk memilih perkhidmatan bermutu di antara pengiklan kami. Ini akan memudahkan peluang rakaman memori perkahwinan anda tercatat dalam coretan segmen “Album & Diari”.
Akhir kata dari kami rakan seperjuangan Ratu Sehari, Selamat Pengantin Baru dan salam bertemu kembali di edisi akan datang...
Saffira
editor@ratusehari.com.my

















