Hikayat Cinta Berceritera Terindah
Setiap yang tersurat punya makna yang tersirat. Setiap rangkuman kata jua punya ungkaian makna. Demikian simbolik bagi ungkapan kata yang menghiasi dada majalah Ratu Sehari edisi kelapan kali ini. Hikayat Ceritera Terindah saling menyingkap dan mengungkai makna hikayat cinta yang dimiliki pasangan pengantin, bercerita kisah terindah bersama cenderahati-cenderahati eksklusif yang diketengahkan Ratu Sehari kali ini pada kulit muka hadapan majalah. Menyerlah aura cinta yang agung, koleksi yang dipaparkan terpamer ilham berimaginasi tinggi dalam memberi suatu nafas baru kepada pemilihan barangan cenderahati.
Kesinambungan paparan koleksi cenderahati yang terpotret, Ratu Sehari turut padat dengan informasi-informasi menarik lagi berguna bersama artikel “Titipan dari Hati”. Mengupas sempurna panduan-panduan pemilihan cenderahati terbaik buat para tetamu istimewa, sesuai buat tatapan bakal mempelai yang sedang mencari atau masih kebingungan memilih cenderahati apa yang ingin dititipkan buat tetamu.
Bercerita tentang artikel, segmen Perancangan Perkahwinan kali ini turut disisipkan bersama informasi berkaitan perancangan berbulan madu. Menyokong industri pelancongan tempatan, Ratu Sehari memilih ‘Negeri di Bawah Bayu', sebagai destinasi pelancongan. Berkongsi maklumat dan gambar-gambar menarik daripada pihak Tourism Malaysia serta pihak-pihak lain yang berkenaan, sempurna artikel “Mengumpul Memori Bahagia, Terkarang Hikayat Cinta...” menyingkap banyak destinasi indah di Sabah.
Senantiasa memperuntukkan yang terbaik buat pembaca sekalian. Edisi kali ini Ratu Sehari menemani anda dengan pelbagai lagi idea dan ilham kreatif daripada pengusaha-pengusaha industri perkahwinan, sama ada yang masih baru mahupun yang telah lama mencipta nama. Hayati dan selamilah karya terulung insan-insan seni ini bersama konsep-konsep tema resepsi, dekorasi pelamin mahupun tata hias hantaran yang menarik. Antara lain, Sonia Sofia Bride Ideas hadir memberi ilham tema resepsi bertradisi menyemarakkan lagi majlis yang bersambut. Jua tidak ketinggalan, kali ini Nas Great Idea menyerlahkan ilham mengaplikasi ‘Brilliant Colour' bersama tema resepsi yang berkonsepkan “The Tunnel”. Menambah keunikan, Nas Great Idea turut memaparkan bersama dekorasi resepsi gemilang bertemakan “Renaissance”.
Tidak ketinggalan bagi para pencinta busana-busana elegan lagi unik potongan baju pengantinnya, kami hadirkan buat anda eksklusif busana bergaya kontemporari lagi dilengkapi fabrik-fabrik indah bagi menyempurnakan hari berbahagia anda. Sempurnakan penampilan si ratu sehari, kali ini kami mengetengahkan kreativiti solekan daripada Wan Azlan Couture, Ian Sham, Nurin Makeover Studio dan Freda Lestari Putra. Majlis yang sempurna, merakam memori bahagia. Istimewa buat tatapan semua, Ratu Sehari juga memaparkan khas, 11 lagi cerita cinta dalam segmen Album & Diari.
Penghujung bicara, kami dari sidang penerbitan Ratu Sehari ingin merakamkan ribuan terima kasih buat anda yang setia mendampingi buah hati kami ini. Juga bagi mereka yang baharu ingin bermanja dengan isu kali ini, jua sekalung penghargaan kami ucapkan atas sokongan anda bersama kami...
Berceritera kisah cinta,
Rentetan dari memori bahagia;
Ilham kreatif indah tercipta,
Ikhlas hadir dari rasa yang sempurna.



